Tuesday 10 April 2012

internet dan web

Bolehkah dua buah komputer menggunakan hanya satu akaun JARING dan bolehkan berlaku pertukaran e-mail antara kedua-duanya? 
Dua buah komputer boleh mempunyai satu akaun JARING yang sama, tetapi ia tetap menggunakan alamat e-mail yang sama. Oleh itu adalah tidak praktikal untuk anda menghantar e-mel di antara dua komputer kerana ia menggunakan akaun yang sama. Komputer pelayan mel (mail server) JARING tidak dapat membezakan antara dua komputer itu dan ianya seperti menghantar e-mail kepada diri sendiri. Namun, anda masih boleh menggunakan akaun JARING untuk masuk ke Internet dan selepas itu gunakan perkhidmatan e-mail berasaskan Web (Web-based e-mail) yang ditawarkan secara percuma seperti Hotmail, Rocketmail, Netaddress dan sebagainya. Dengan itu masalah menghantar e-mail akan selesai! 
Bolehkah sebuah sistem komputer jenis Acer dengan 486 SX2-50, 12MB RAM dan pemacu CD-ROM `double speed' dapat menggunakan Internet?  Jika sistem komputer tersebut tidak dapat digunakan, bolehkah saudara berikan sedikit tips untuk mempertingkatkan (upgrade) kehendak sistem komputer tersebut yang paling minima untuk menggunakan Internet? 
Untuk pengetahuan anda, sistem yang dinyatakan itu sudah memadai dan mampu untuk menggunakan Internet dengan syarat ia dilengkapkan dengan satu lagi alat iaitu modem. Bagaimanapun jika mampu, dapatkanlah komputer Pentium dengan 16MB RAM serta modem dengan kelajuan minima 28.8kbps. Sebagai permulaan, saya syorkan anda menggunakan apa yang ada terlebih dahulu untuk melayari Internet. Dapatkan modem yang baik, kerana teknologinya agak lambat berkembang berbanding kelajuan komputer yang cepat meningkat. Apabila tiba waktunya anda terasa jemu dengan kadar pemprosesan komputer yang agak lembap, maka tukarlah dengan yang baru. 
Saya dapat menerima e-mel dari kawan saya, tetapi jika saya mengirimkan e-mel kepadanya, dia tidak dapat menerima e-mel itu. Mengapa? 
Kemungkinan pertama ialah komputer pelayan (server) mel pembekal perkhidmatan Internet sedang rosak (down), cuba hantar di lain masa. Jika itu tidak menyelesaikan masalah, cuba anda periksa konfigurasi komputer pelayan mel anda (atau kawan anda) pada bahagian `server' di dalam perisian mel (jika Netscape - pergi kepada menu Options-Mail and News Preferrences-Servers dan jika guna Explorer - pergi kepada menu Mail-Options-Servers). 
Perhatikan nama-nama pelayan yang dinyatakan pada `outgoing mail (SMTP)' dan `incoming mail (POP3)'. Pastikan kedua-duanya adalah betul seperti yang dikehendaki, contohnya TMnet menggunakan mail.tm.net.my untuk kedua-dua pelayan manakala Jaring biasanya menggunakan pop3.jaring.my. Kemungkinan ketiga adalah anda tersalah taip alamat e-mel kawan anda, setiap aksara dalam alamat akan menentukan ke mana perginya mel tersebut. Jika anda tersalah taip alamat destinasi, biasanya e-mel tersebut akan dipulangkan kembali kepada anda secara automatik. Jika ia tidak dikembalikan, dan kawan anda juga tidak menerimanya, kemungkinan besar masalah adalah di sebelah pihak kawan anda. 
Bagaimanakah cara untuk memindah terima (download) sekiranya ingin melihat video dari laman Web yang ada menyediakan video-video menarik. Adakah diperlukan perisian tambahan seperti Apple Quicktime yang boleh diperolehi daripada Internet juga? 
Ya, anda perlukan perisian tambahan (plug-in) yang bersesuaian. Rujuk laman Web terbabit untuk mengetahui perisian apa yang diperlukan untuk menonton video yang disediakannya. Seterusnya, pindah terima perisian tersebut dan kemudian pasangkannya (install) ke dalam komputer anda sebelum anda boleh mula menonton video. Terdapat beberapa perisian tambahan yang diperlukan untuk memainkan fail-fail video dengan format yang berlainan. 
Bagaimana untuk membuat laman Web (homepage) sendiri dengan menggunakan perisian sedia ada? 
Sebenarnya laman Web boleh dibuat menggunakan sebarang program penyunting teks (text editor) di dalam Windows seperti Notepad, Write, Wordpad atau Microsoft Word. Apa yang harus anda lakukan ialah mempelajari kod-kod ataupun tag-tag HTML (yang mudah) dan menyimpannya dengan sambungan (extension) .html atau .htm. Gunakan perisian perayau (browser) seperti Netscape atau Internet Explorer untuk melihat hasilnya. 
Anda boleh mempelajari HTML dengan memerhati kod yang digunakan untuk laman-laman Web yang anda kunjungi. Untuk melihat kod tersebut, daripada perisian perayau, ambil menu View - Source. 
Apakah perbezaan antara Internet, intranet, ekstranet, Ethernet dan Networks? 
Internet merupakan satu rangkaian besar dan umum yang menghubungkan banyak rangkaian-rangkaian komputer di seluruh dunia, ianya bersifat awam dan boleh dicapai oleh sesiapa sahaja. Intranet pula adalah satu rangkaian komputer yang tertutup dan boleh dicapai oleh orang atau pihak yang tertentu sahaja, contohnya rangkaian komputer sebuah universiti yang menghubungkan semua jabatannya di seluruh kampus. Manakala ekstranet adalah jalinan antara beberapa intranet, contohnya jalinan antara rangkaian komputer yang terdapat disebuah universiti dengan universiti-universiti yang lain. Ketiga-tiga Internet, intranet dan ekstranet menggunakan satu teknologi sama yang pada umumnya dikenali sebagai teknologi Internet ataupun protokol Internet. Ethernet pula merupakan satu bentuk rangkaian kawasan setempat (local area network atau LAN) yang menghubungkan satu kumpulan komputer contohnya di sebuah pejabat. Networks atau rangkaian pula adalah satu istilah umum yang merujuk kepada dua atau lebih komputer yang dihubungkan antara satu sama lain. 
Jika ingin memasang Internet. Apakah jenis modem yang perlu saya gunakan buat pertama kali? 
Untuk menggunakan Internet, anda boleh menggunakan sebarang jenis modem samada modem dalaman (internal) atau luaran (external). Kami syorkan anda dapatkan modem dengan kelajuan 33.6kbps atau lebih, kerana ianya lebih laju memindahkan data. Jangan berkira sangat tentang harga, kerana modem yang murah kadang-kadang tidak memberikan prestasi yang memuaskan. 
Apakah perbezaan antara TMnet dan Jaring? 
TMnet dan Jaring merupakan dua perkhidmatan Internet yang utama di negara ini. TMnet dikendalikan oleh Telekom Malaysia Berhad manakala Jaring dikendalikan oleh MIMOS Berhad. 
Bagaimana hendak mendapatkan maklumat terkini melalui Internet? 
Untuk mendapatkan maklumat terkini daripada Internet, terdapat beberapa saluran dan kaedah. Jika anda inginkan berita-berita semasa, anda boleh mendapatkannya daripada akhbar-akhbar dalam talian seperti Utusan Online di alamat http://www.utusan.com.my . Sekiranya maklumat yang diinginkan lebih berbentuk khusus mengenai sesuatu perkara, anda boleh mencuba menggunakan enjin pencari (search engine) yang terdapat di Internet seperti http://altavista.skali.com.my atau http://www.cari.com.my 
Apakah perlu seseorang itu yang memiliki PC, menggunakan Internet? 
Seseorang pemilik PC tidak semestinya menggunakan Internet. Tetapi Internet dikatakan sebagai sumber kepada pelbagai maklumat, dan jika seseorang pengguna tahu menilai dan amat mementingkan maklumat, maka Internet adalah untuknya. Ia seumpama memiliki sebuah kereta, anda tidak perlu menggunakannya jika anda tidak berminat untuk pergi ke majlis-majlis ceramah ataupun bersiar-siar makan angin, gunakan ia hanya untuk urusan kerja. 
Antara modem dalaman dan modem luaran, yang mana lebih digalakkan untuk digunakan? 
Modem dalaman memerlukan anda membuka penutup (casing) komputer jika ingin memasangnya manakala untuk modem luaran anda hanya perlu menyambungkan ke penghubung `com port' dibelakang komputer. Jika anda pasang modem luaran, anda perlu menghidupkan suisnya setiap kali ingin diguna tetapi jika model dalaman, anda tidak perlu buat apa-apa lagi. Modem luaran juga senang dipindah-pindahkan antara komputer yang berlainan. Namun kebanyakan pengguna-pengguna lama dan lebih senior lebih gemar menggunakan modem luaran, lagipun ia mempunyai paparan LED yang memberitahu pengguna tentang status, operasi baca-tulis dan lain-lain. Jadi, tepuk dada tanya selera sendiri. 
Saya baru memiliki komputer yang lengkap dengan modem 33.6Kbps (internal), perisian Internet dan e-mail. Saya ingin menggunakan kemudahan Internet dan e-mail, oleh itu siapakah yang saya perlu hubungi samada TMNet atau Jaring (MIMOS)? 
Jika anda ingin mendapatkan perkhidmatan Internet, anda boleh menghubungi samada TMNet ataupun MIMOS. Kedua-duanya merupakan penyedia perkhidmatan Internet rasmi di Malaysia.. Untuk berlanggan dengan TMNet anda hanya perlu mengunjungi mana-mana Kedai Telekom atau menghubungi talian 03-7031515, dan sekiranya anda ingin berlanggan dengan MIMOS, anda boleh menghubungi MIMOS sendiri di talian 03-9662916 ataupun pihak-pihak yang dilantik sebagai pembekal perkhidmatan akses Jaring (JASP) seperti Utusan Jaring dan Silicon Communications. Selain itu terdapat juga beberapa syarikat swasta yang menyediakan perkhidmatan Internet yang lebih eksklusif dan mahal sedikit seperti Putra.Net, Nasionet, MOLnet, IBM Global Connection (VADS) dan AsiaConnect. 
Bagaimana cara untuk mendapatkan kemudahan Internet di rumah, bagaimana proses pembayarannya dan bil yang dikenakan ? 
Perkhidmatan Internet boleh digunakan samada di rumah atau pejabat. Kedua-duanya sama sahaja - memerlukan komputer, modem dan talian telefon biasa. Jika anda menggunakan TMNet, bayaran akan dicajkan menerusi bil telefon dengan kadar 2.5 sen seminit manakala untuk lain-lain perkhidmatan, anda dikehendaki membayar yuran langganan mengikut kadar yang tertentu. 
Saya suka membuat pelayaran melalui internet tapi amat-amat membosankan kerana menunggu terlalu lama untuk mendapatkan sesuatu maklumat.. Tidakkah ada cara lain yang paling mudah dan cepat. 
Salah satu `netiquette' ataupun Etika Net yang perlu diamalkan oleh para pelayar Internet ialah bersabar. Lebuhraya maklumat tidak terlepas daripada masalah kesesakan lalulintas terutamanya pada waktu-waktu kerja yang sibuk. Bagaimanapun jika anda ingin keselesaan semasa melayari Internet, terdapat beberapa tip; 
  • Guna Internet sewaktu tidak sibuk seperti sebelah petang atau awal pagi. Elakkan waktu makan tengahari.
  • Pastikan komputer anda menggunakan modem yang baik dan berkelajuan sekurang-kurangnya 33.6kbps. Sesetengah modem, walaupun laju tetapi mempunyai kadar pemampatan data yang lemah dan seringkali menyebabkan talian terputus. Oleh itu pilihlah modem dengan bijak.
  • Sekiranya anda menggunakan talian dail terus (dial-up), cuba putuskan hubungan (disconnect) dan sambung (connect) semula selepas beberapa minit.
  • Jika anda ingin memindahkan fail dari komputer pelayan (server) luar negeri dan ia menyediakan pelayan protokol pemindahan fail (FTP), jangan guna perisian pelayar (browser) sebaliknya gunalah perisian FTP dan pindah terima (download) fail terus daripada pelayan FTP tersebut.
  • Jika mampu, langganlah talian ISDN ataupun jika menggunakan komputer di pejabat, syorkan pihak pentadbiran agar menggunakan talian suwa berkelajuan tinggi, sambungan gentian optik ataupun sistem rangkaian yang lebih baik.
Apakah langkah-langkah yang perlu atau prosedur untuk membuat sebuah laman Web (homepage) ? 
Sebelum kita membuat sesuatu laman Web, pastikan dahulu di mana anda hendak terbitkan (publish) atau tempatkan laman tersebut. Maksudnya, anda perlu mengenal pasti tapak-tapak Web yang menawarkan ruang untuk laman Web samada secara berbayar ataupun percuma. Uruskanlah tempahan laman anda di tapak Web tersebut terlebih dahulu jika perlu. Fikirkan juga bahan-bahan atau kandungan yang ingin anda muatkan dalam laman Web itu seperti maklumat peribadi anda/syarikat anda, hobi/perniagaan dan sebagainya. Setelah itu karanglah laman Web anda dengan perisian pengarangan yang sesuai. Bila siap, hantarkan (upload) ia tapak Web berkenaan menggunakan perisian FTP. 
Apakah nama-nama program yang membolehkan kita untuk membuat sesebuah laman Web dengan baik serta mempunyai persembahan yang canggih ? 
Terdapat pelbagai perisian di pasaran untuk kita membangunkan sesebuah laman Web yang menarik. Antaranya ialah Netscape Communicator, Microsoft FrontPage, Lotus Go, Webtricity (keluaran Micrografx), HotDog dan lain-lain. Microsoft Office 97 dan Lotus Smartsuite 97 juga mempunyai komponen yang membolehkan anda mengarang laman Web. Untuk menambah kesan khas kepada laman Web, anda boleh gunakan perisian pembangunan aplet Java atau ActiveX. 
Bagaimanakah cara untuk mendaftar laman Web kita dalam Internet dan bagaimanakah tentang bayarannya ? 
Untuk mendaftar sesebuah laman Web, anda boleh rujuk kepada enjin pencari Yahoo, Excite, AltaVista dan sebagainya. Pengguna lain dapat mencari laman Web anda berdasarkan kata kunci yang bersesuaian. 
Saya hendak membuat laman Web (homepage) dan banyak melihat iklan di Internet tentang laman Web percuma. Apakah pendapat pengarang tentang hal ini? Adakah saya perlu membeli apa-apa perisian untuk membuat sebuah laman Web? 
Laman Web percuma seperti di http://www.geocities.com adalah baik sebagai tempat permulaan untuk kita `membina rumah' di alam siber. Anda boleh membuat sebuah laman Web mengenai peribadi, minat atau sebagainya tentang anda. Anda juga tidak semestinya membeli sebarang perisian kerana biasanya pengelola tapak Web yang menawarkan laman Web percuma berkenaan ada menyediakan alat pengarangan yang bersesuaian. Jika anda inginkan kebebasan dan membuat sendiri laman Web, anda boleh memindah terima (download) perisian-perisian kecil pengarangan HTML (HTML editor) yang percuma ataupun `shareware' dari Internet. 
Saya mempunyai komputer jenis 486DX4-100MHz. Adakah perlu saya upgrade untuk memasuki Internet? 
Tidak perlu mempertingkatkan komputer anda kerana 486DX4-100MHz sudah cukup, (malah komputer 8088 sekalipun boleh, cuma penggunaannya terbatas kerana kebanyakan aplikasi Internet dibangun berasaskan Windows). 
Apakah perbezaan antara `homepage', `web site', laman, halaman Web dan pelayar Web? 
`Homepage' adalah suatu halaman (atau satu muka surat) di alam siber yang dipenuhi teks, grafik, animasi dan kesan bunyi. Laman adalah istilah yang disyorkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bagi menggantikan perkataan `homepage'. Halaman Web adalah istilah yang sering digunakan sebelum ini untuk merujuk kepada `homepage'. Untuk mengelakkan kekeliruan pembaca, kami menggunakan istilah `laman Web' untuk mewakili `homepage', `laman' dan `halaman Web'. `Web site' pula adalah tapak Web iaitu merujuk kepada komputer pelayan (server) yang digunakan untuk mengelola (hosting) sesuatu laman Web. Manakala pelayar Web adalah perisian yang digunakan untuk meluncur (surf) atau melayari (navigate) alam siber (Internet), contohnya Internet Explorer dan Netscape Navigator. 
Apakah yang dimaksudkan dengan HTML, WWW, HTTP, PSTN dan ISDN? 
HTML - Hyper Text Markup Language iaitu bahasa skrip yang digunakan untuk mengarang, membina dan menerbitkan laman Web di Internet. WWW - World Wide Web iaitu jaringan sedunia untuk laman Web. HTTP - Hyper Text Transfer Protocol iaitu satu kaedah pemindahan teks menerusi Internet yang dijadikan standard. PSTN - Public Switching Telephone Network iaitu sistem rangkaian analog telefon awam yang biasa digunakan, sistem telefon rumah/pejabat. ISDN - Intergrated Services Digital Network iaitu sistem rangkaian telekomunikasi digital yang lebih pantas, penggunaannya semakin diminati ramai tetapi kos yang lebih tinggi berbanding PSTN. 
Apakah kelebihan dan kekurangan Netscape Navigators dan Internet Explorer? Yang manakah perisian terbaik untuk saya gunakan sebagai pelayar Web? 
Netscape Navigator digunakan oleh 75 peratus pengguna Internet di seluruh dunia dan dijual dengan harga sekitar RM188. Manakala Internet Explorer pula diberikan percuma. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya. Tentu ada sebab kenapa lebih ramai orang menyukai salah satu daripadanya. 

No comments:

Post a Comment